Selain Kuala Lumpur, bandar raya lain yang turut tersenarai adalah Beirut, Lebanon; Havana, Cuba; La Paz, Bolivia; Doha, Qatar; Durban, Afrika Selatan; dan Vigan, Filipina.
Mail Online melaporkan, keputusan itu diperoleh berdasarkan undian kempen yang diadakan sejak Oktober tahun lalu, membabitkan senarai akhir 28 bandar raya.

Pengarah filem Switzerland, Bernard Weber yang memperkenalkan kempen itu sejak tahun 2007 berkata, undian tersebut kemudian menyenarai pendek 21 bandar raya terbaik sehingga keputusan penuhnya diumumkan kelmarin.

“Kami memulakan undian dengan 1,200 pencalonan bandar raya dari 220 buah negara. Tujuh bandar raya yang terpilih ini mewakili kepelbagaian masyarakat moden masa kini.
“Untuk kali pertama dalam sejarah, lebih separuh daripada populasi manusia tinggal di bandar raya dan pemilihan yang diadakan ini menunjukkan cabaran perubahan dunia pada zaman moden,” kata Weber.


Kempen itu merupakan satu inisiatif yang diharap dapat menggalakkan debat tentang bagaimana bandar raya berkenaan menghadapi cabaran pada masa depan.

Weber berharap proses undian itu dapat mewujudkan satu forum perbincangan tentang pelbagai isu termasuk rancangan perbandaran dan pentadbiran metropolitan serta pelancongan dan reka bentuk.

Ini merupakan kali ketiga Weber mengadakan undian untuk mencari tujuh bandar raya terhebat bermula pada tahun 2007 yang menyaksikan lebih 100 juta undian diterima untuk mencari tujuh keajaiban dunia.