Salam Ramadan

Thursday, July 03, 2014

Hai readers.. Sekejap je masa berlalu kan. Sedar tak sedar kini kita berada di dalam bulan ramadan. Bulan yang penuh kebaikan dan kenikmatan. Semoga ramadan kali ni memberikan kita seribu kebaikan untuk bekalan kita nanti.

Pasti ada banyak kisah yang menjadi kenangan semasa bulan ramadan kan? Hehe.. Bila tengok kanak-kanak kecil yang sekarang ni di ajar berpuasa malah ada yang dari tadika lagi mengingatkan saya pada kenangan dulu sewaktu mula-mula saya berpuasa. Saya masih ingat saya mula berpuasa ketika darjah 1. Tapi dapat puasa penuh dalam 4 hari je macam tu. Ketika darjah 2, saya dah mula berpuasa penuh sebulan. Itupun mak saya tak galakkan sangat sebab takut saya letih di sekolah. Masih ingat lagi, waktu tu, tak ramai rakan sedarjah saya yang berpuasa. Rasanya saya seorang saja. Bila waktu rehat, saya rehat sekali dengan mereka. Kuat tak iman saya dulu? Tengok rakan-rakan makan di depan saya, tapi saya langsung tak buka puasa. Hehe.. Alamak. kagum pulak dengan diri sendiri.. Tapi disebabkan dah di latih dari awal  jadinya saya tiada masalah untuk berpuasa.

Rasanya berpuasa ni lah amalan yang paling senang dilakukan. Sebab itu saya rasa pelik jika ada orang dewasa yang sengaja tidak puasa. 

Puasa ini sebenarnya banyak kebaikan untuk kesihatan kita. Jika seseorang individu itu berpuasa, ia sebenarnya telah memberikan satu ruang kerehatan kepada tubuh badan. Dalam tempoh sebulan itu, hampir separuh atau keseluruhan aktiviti tubuh badan telah diberikan kerehatan. Apabila berpuasa, individu tidak mengambil sebarang makanan atau minuman, dan ia membantu sistem penghadaman untuk berehat dan bekerja sendiri untuk memperbaiki keberkesanan fungsi sistem itu sendiri.

Amalan berpuasa ini juga akhirnya akan membersihkan semua organ-organ berkaitan dan tubuh badan mereka dari kesan buruk akibat dari kewujudan bahan-bahan toksik dan tercemar yang kebanyakannya berpunca dari tabiat pemakanan yang tidak sihat.


Selain dari kesan baik kepada aspek fizikal, amalan berpuasa juga memberi kesan yang positif kepada aspek mental dan emosi. Umat Islam diajar agar tidak merosakkan ibadah puasa mereka. Bagi mengekalkan pahala puasa itu diterima Allah, mereka diingatkan untuk melaksanakan pelbagai bentuk ibadah, dan juga meninggalkan semua perbuatan yang boleh membatal atau mengurangkan pahala puasa itu.

Jika tidak, amalan puasa mereka menjadi sia-sia dan tidak mendapat sebarang ganjaran pahala melainkan hanya berlapar dan dahaga semata-mata. Bagi mendapatkan pahala puasa golongan khususil khusus, iaitu berpuasa setaraf golongan para nabi dan rasul, mereka perlu melakukan amalan yang meningkatkan pahala puasa seperti memperbanyakkan ibadah, melakukan amalan-amalan sunat, tidak berfikir negatif, tidak marah, dan elakkan dari berkata-kata sesuatu yang sia-sia dan merosakkan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari, Nabi Muhammad s.a.w. ada bersabda yang bermaksud …puasa adalah menahan diri, apabila sesorang dari kamu berpuasa, maka hendaklah ia menjauhkan dari perbuatan yang tidak elok dan percakapan yang sia-sia, dan jika ada seseorang yang mencela dan mengajak kamu untuk bertelagah, maka hendaklah kamu ucapkan aku berpuasa…

Amalan berpuasa juga sebenarnya merancakkan lagi pertumbuhan emosi yang positif di kalangan manusia. Ketika berbuka puasa, ia adalah satu bentuk kenikmatan dan kegembiraan yang Allah beri kepada orang yang berpuasa. Semua orang yang berpuasa menantikan ketibaan saat kegembiraan itu.

Mereka menantikannya dengan penuh rasa gembira, seronok dan penuh mengharap. Emosi yang positif seperti ini amat baik kerana ia memberi kekuatan bagi meneruskan kehidupan menuju pengabdian dan penghambaan kepada Allah Yang Maha Berkuasa dan Agung. Ia juga memberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan hari esok dengan penuh rasa yakin dan gembira.


Banyak kan kebaikan berpuasa ni. Allah takkan suruh kita lakukan saja-saja amalan berpuasa ni jika tiada kebaikan untuk kita.

Di kesempatan ini saya nak ucapkan selamat berpuasa kepada readers yang beragama Islam. Marilah kita sama-sama beramal bagi mendapat keredhaanNya.


Sumber: Amalan Berpuasa

You Might Also Like

0 comments

Followers

Total Pageviews